Video AI Guncang Dunia Produksi Budaya Minang

  • 09 Feb 2026 11:56 WIB
  •  Bukittinggi

RRI.CO.ID,Kualalumpur - Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini memberi dampak besar terhadap industri kreatif, termasuk dalam penghasilan konten budaya disampaikan Senin, 9 Februari 2026

Salah satu perbandingan yang semakin ketara ialah antara produksi rekaman video konvensional dengan video AI berasaskan animasi foto, khususnya dalam memaparkan budaya Minangkabau (Minang) dalam bentuk video musik atau dokumentasi pendek.

Produksi video konvensional memerlukan perancangan yang rapi dan kos yang tidak sedikit. 

Semakin ramai pemeran yang terlibat, semakin kaya paparan budaya yang dapat ditampilkan. 

Namun, hal ini turut melibatkan pelbagai biaya seperti pakaian adat, perjalanan ke lokasi penggambaran, penginapan, serta bayaran krew produksi. Selain itu, faktor cuaca dan pencahayaan juga sangat mempengaruhi kelancaran proses rakaman.

Walaupun durasi video hanya sekitar lima minit, keseluruhan proses — bermula dari persiapan, penggambaran hingga pasca-produksi — boleh mengambil masa beberapa hari. Pengurusan krew, koordinasi dengan pemilik lokasi, serta penglibatan semua pihak memerlukan perancangan yang teliti dan terperinci.

Sebagai alternatif yang lebih mudah dan pantas, teknologi video AI kini semakin mendapat perhatian. 

Dengan hanya menggunakan komputer dan sedikit pengetahuan asas, produksi dapat dilakukan tanpa perlu berdepan panas terik matahari atau hujan, serta tanpa cabaran besar dalam pengurusan manusia.

Menurut Gunari Umardinata, atau lebih dikenali dengan nama akaun TikTok Bang Cakar (@kucingcang6), seorang teknologis dari Jakarta, teknologi video AI relatif mudah dikuasai.

“Cukup belajar dari internet, mencuba, dan melihat hasil yang konsisten. Pada awalnya memang sedikit melelahkan, tetapi apabila hasilnya sudah lumayan, akan timbul rasa seronok menggunakan teknologi ini,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa elemen budaya Minang seperti pakaian adat, lokasi, aksi pemeran, dan jalan cerita sangat mudah digubah dalam bentuk penceritaan video AI. 

Proses produksi yang bermula daripada animasi foto mampu menghasilkan video AI hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Tuan Muhamad Shokri Yahaya, Produser dan Pemilik Studio Mediamaju Malaysia. 

Menurut beliau, teknologi video AI wajar dimanfaatkan untuk menyebarkan pengetahuan tentang Budaya Minang, sama ada melalui video musik atau dokumentasi pendek.

“Teknologi ini sangat dekat dengan generasi muda. Jika digunakan dengan cara yang betul, ia mampu membantu anak muda memahami dan seterusnya memartabatkan kesenian serta budaya Minang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi ke arah kebaikan merupakan satu sumbangan besar kepada bangsa dan negara.

Dengan gabungan kreativiti dan teknologi, video AI dilihat sebagai satu peluang baharu dalam memastikan warisan budaya terus hidup dan relevan dalam era digital.

google-preference

Rekomendasi Berita

Berita Terbaru Lainnya

Memuat berita terbaru.....